: May 20, 2009 by Cikgu Fais in Ilmu Pendidikan
Tags: Ilmu Pendidikan, Psikologi Pendidikan 1Pengenalan
Bidang psikologi pendidikan adalah merupakan suatu bidang kajian tentang bagaimana manusia belajar dalam latar pendidikan, keberkesanan campur tangan pendidikan, psikologi pengajaran, dan psikologi sosial. Psikologi pendidikan juga juga dapat difahami menerusi hubungannya dengan disiplin-disiplin yang lain khususnya dari bidang psikologi. Antara bidang yang terkandung di dalam bidang ini ialah dari segi rekabentuk pengajaran, teknologi pendidikan, perkembangan kurikulum, pembelajaran organisasi, pendidikan khas, dan pengurusan bilik darjah.
E. L. Thorndike pada tahun 1903, telah mendefinisikan psikologi pendidikan sebagai ‘middlemen mediating between the science of psychology and the art of teaching’. Secara keseluruhannya, bidang psikologi pendidikan ini adalah merupakan suatu disiplin ilmu yang mengaplikasikan ilmu psikologi dalam dunia belajar dan guru.
Apa Erti Psikologi
Psikologi berasal daripada perkataan Greek purba iaitu ‘Psyche’ dan ‘Logos’. Psyche membawa maksud jiwa, manakala Logos pula membawa maksud kajian mengenai sesuatu.
Merujuk kepada Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka pula, ia menafsirkan psikologi sebagai kajian tentang proses mental dan pemikiran, terutamanya berhubung dengan perlakuan manusia dan haiwan; pola pemikiran dan perlakuan seseorang atau sesuatu kumpulan tertentu; dan kebijaksanaan memahami sifat manusia.
Berikut pula adalah beberapa contoh definisi psikologi yang ditafsirkan oleh beberapa tokoh:
- “Satu cabang penyiasatan saintifik untuk tingkah laku dan aktiviti”. (William, 1960).
- “Psikologi adalah sains tingkah laku”. (Wittaker, 1970).
- “Satu kajian yang sistematik terhadap tingkah laku dan mental seseorang”. (Henry L.Roediger, 1984).
- “Kajian sistematik tentang tingkah laku manusia dan pengalaman manusia”. (Kalat, 1999).
- “Psikologi merupakan satu kajian saintifik untuk mengkaji bagaimana pemikiran manusia bekerja dan bagaimana pemikiran tersebut mempengaruhi tingkah laku atau mempengaruhi sikap seseorang itu terhadap sesuatu tingkah laku”. (Cambridge International Dictionary of English m.s. 383).
Apa Erti Psikologi Pendidikan
Menurut Borich dan Tombari (1997), psikologi pendidikan membawa maksud satu disiplin yang mengfokuskan kajiannya kepada pengetahuan teoretikal dan pengetahuan empirikal mengenai pengajaran & pembelajaran dalam bilik darjah.
Menurut Clifford, 1984 (dalam Hensen & Eller, 1999), psikologi pendidikan adalah mengaplikasikan kaedah psikologi untuk mempelajari proses pendidikan.
Secara keseluruhannya, psikologi pendidikan lebih menjelaskan kaedah penerapan psikologi oleh guru-guru untuk tujuan memahami tingkah laku pelajar-pelajar bagi memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan secara lebih berkesan.
Kepentingan Ilmu Psikologi Pendikan dalam Pelaksanaan Proses Pengajaran dan Pembelajaran
Guru adalah merupakan insan yang diberi tugas untuk mendidik pelajar supaya menjadi insan yang berilmu dan mampu untuk menjadi insan yang berguna untuk diri sendiri dan orang lain. Guru juga adalah insan yang memainkan peranan yang cukup penting yang bertindak sebagai pelaksana kurikulum dan program di sekolah, terutama dari segi pencapaian, aspirasi dan matlamat sekolah.
Pengaplikasikan ilmu psikologi pendidikan ini amat penting difahami dan diaplikasikan oleh guru-guru supaya proses pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan dengan berkesan dan mencapai matlamat yang disasarkan.
Apabila ianya difahami, guru-guru boleh memahami mengapa pelajar cenderung untuk melakukan sesuatu tingkah laku terutamanya ketika proses pengajaran dan pembelajaran dijalankan. Contohnya, jika pelajar tidak menumpukan perhatian di dalam kelas, apakah tindakan yang harus dilakukan oleh guru supaya masalah ini dapat diatasi. Apabila guru dapat mengaplikasikan psikologi pendidikan ini maka guru boleh meramalkan tingkahlaku pelajar dan berupaya untuk menanganinya. Secara tidak langsung guru mampu untuk merancang aktiviti dan bimbingan lebih awal supaya dapat membentuk tingkahlaku yang diingini.
Menurut Lee Shulman (1997), guru yang berjaya adalah guru yang dapat mengajar matapelajaran dengan baik dan dapat mengaplikasikan strategi pengajaran kepada semua mata pelajaran termasuklah pengurusan bilik darjah yang baik dan kaedah mengajar yang berkesan. Beliau juga turut menambah, guru harus dapat menyediakan strategi pengajaran kepada semua mata pelajaran termasuklah pengurusan bilik darjah yang baik dan kaedah mengajar yang berkesan. Bahan-bahan yang disediakan pula mestilah sesuai dengan matapelajaran dan tahap pelajar.
Guru yang menguasai psikologi pendidikan ini juga boleh merancang peneguhan yang sesuai untuk pelajarnya dalam usaha mengawal tingkah laku dan memotivasi pelajar supaya lebih rajin menuntut ilmu. Dengan peneguhan ini juga, guru dapat mengetahui tahap perkembangan pelajar dari sudut fizikal, kognitif, sosial, dan emosi.
Cara mengenalpasti tahap pelajar boleh dilakukan dengan melakukan soal selidik yang mudah terutamanya terhadap pelajar-pelajar yang bermasalah dan seterusnya dapat merancang program atau aktiviti yang sesuai untuk pelajar dalam meningkatkan prestasi pembelajaran dan tahap penguasaannya terhadap matapelajaran yang diajar. Guru juga boleh membentuk tahap kendiri yang tinggi dalam diri pelajar tersebut.
Dengan memahami psikologi pendidikan, seorang guru melalui pertimbangannya diharapkan dapat:
1. Merumuskan tujuan pembelajaran secara lebih tepat;
2. Memilih strategi atau method yang sesuai;
3. Memberi bimbingan atau kaunseling;
4. Mengembang bakat dan potensi yang dimiliki oleh pelajar;
5. Mewujudkan iklim belajar yang kondusif; dan
6. Menilai hasil pembelajaran yang adil dan saksama.
Kesimpulan
Secara ringkasnya, guru yang berkesan adalah guru yang berilmu pengetahuan, menguasai pedagogi dan juga ilmu psikologi tentang manusia.
Guru juga semestinya menunjukkan sikap jujur dan keikhlasan ketika mengajar bagi menggalakkan proses pengajaran dan pembelajaran dapat hasil yang positif.
Akhir sekali, guru mestilah mempunyai kepakaran dalam matapelajaran yang diajar dan seterusnya menggunakan strategi, kaedah dan teknik mengajar yang membolehkan pelajar menjalankan aktiviti pembelajaran mereka dengan kaedah dan teknik yang betul. Guru yang berkesan akan melahirkan pelajar yang memberikan hasil yang berkesan dan mampu menguasai ilmu yang dipelajari.
No comments:
Post a Comment