Guru

Dahulu.....
aku dididik oleh insan guru,
dahulu.....
aku diajar tentang hidup oleh insan guru
dahulu....
aku diberi ilmu oleh insan guru
kini.....
aku sebagai insan guru.....
mampukah aku melahirkan insan yang lebih baik dari aku?

Tuesday, March 1, 2011

Puad kecewa kualiti projek kabin sekolah di Sarawak

BATU NIAH 1 Mac - Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi semalam bertindak tegas apabila menolak untuk memotong reben sebagai simbolik perasmian bangunan kabin Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Subis yang terletak kira-kira 100 kilometer daripada Miri.

Keengganan itu berpunca daripada rasa tidak puas hatinya apabila melihat kualiti struktur binaan kabin itu yang tidak mencapai standard Kementerian Pelajaran.

Menurut beliau, masalah itu bukan hanya berlaku di SMK Subis, bahkan turut membabitkan keseluruhan projek pembinaan bangunan kabin kelas di sekitar Subis dan Baram.

Katanya, daripada 32 buah blok yang sepatutnya dibina, hanya enam blok sahaja yang disiapkan dalam tempoh yang dijanjikan serta menepati kriteria digariskan kementerian.

"Kalau ikutkan hati, saya sangat marah dengan kontraktor terbabit, pembinaan kabin tersebut amat mendukacitakan sehingga ada yang tidak siap dan ditinggalkan begitu sahaja.

"Kalau yang dah siap pun, ia tidak mematuhi ciri-ciri yang kita kehendaki seperti ada kabin yang tiada sistem perparitan, tangga tidak mematuhi aspek keselamatan selain material yang digunakan bukan yang ditetapkan," katanya yang jelas amat kecewa dengan perkembangan itu.

Beliau yang dalam lawatan kerja selama tiga hari bagi meninjau 12 buah sekolah di Bekenu, Sibuti dan Subis bermula kelmarin ditemui pemberita selepas melawat blok kabin kelas di SMK Subis yang merupakan salah satu daripada projek yang gagal memenuhi standard.

Mengiringi beliau ialah Ahli Parlimen Sibuti, Ahmad Lai Bujang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lambir, Aidan Wing dan ADUN Bekenu, Rosey Yunus.

Kementerian Pelajaran sebelum ini meluluskan pembinaan kira-kira 300 bangunan kabin sekolah yang setiap satunya membabitkan kos RM260,000 di seluruh Sarawak.

Mengulas lanjut, Mohd. Puad berkata projek pembinaan itu diserahkan kepada 10 syarikat kontraktor dan dua daripadanya didapati telah gagal menyiapkan projek.

Katanya, kementerian sudah mengenal pasti dua syarikat tersebut selain bertindak menamatkan tempoh lanjutan pembinaan.

"Lebih 80 peratus projek bangunan kabin di Subis dan Baram gagal disiapkan, selain pembinaan yang dilengah-lengahkan dan ditinggalkan begitu sahaja.

"Sedangkan keutamaan kita adalah keselamatan pelajar dan suasana pembelajaran yang kondusif, kita tak mahu pembelajaran dan pengajaran pelajar-pelajar khususnya di luar bandar terjejas kerana kegagalan kontraktor," tegasnya.

2 mac 2011- Kerajaan memperuntukkan 6.4 bilion untuk pembangunan sekolah

KUALA KRAU 1 Mac - Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM6.4 bilion untuk melaksanakan pelbagai projek pembangunan sekolah di seluruh negara pada tahun ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kos itu tidak termasuk perbelanjaan mengurus yang melibatkan pembayaran gaji tenaga pengajar dan pegawai akademik yang berjumlah RM26 bilion.

"Usaha-usaha akan diteruskan bagi memenuhi kehendak ibu bapa yang mahukan sistem pendidikan berkualiti yang disediakan kerajaan," katanya.

Beliau berucap ketika mengadakan perjumpaan dengan warga pendidik dan jawatankuasa permuafakatan persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) Parlimen Kuala Krau di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kerdau dekat sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, usaha yang dilaksanakan itu bagi memastikan kualiti pendidikan negara setanding dengan negara-negara maju.

Kerajaan juga, jelas beliau, akan memperkasakan lagi bidang teknologi komunikasi maklumat (ICT) dan bahasa Inggeris dengan membina lebih banyak makmal di sekolah-sekolah seluruh negara.

''Setakat ini, kerajaan telah membina makmal bahasa Inggeris di 700 sekolah di seluruh negara. Mungkin bilangannya tidak mencukupi dan sekolah yang mempunyai makmal akan berkongsi dengan sekolah lain," katanya.

Sepanjang tahun lalu juga, Muhyiddin memberitahu, kerajaan membina sebanyak 1,000 bilik darjah untuk menampung bilangan pelajar yang semakin bertambah.

Beliau turut sekali lagi mengumumkan sebanyak 23 sekolah akan dinaik taraf menjadi Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) pada tahun ini.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis itu, Muhyiddin memberitahu, kerajaan belum menetapkan tempoh tertentu untuk melaksanakan sistem persekolahan satu sesi.

Ini kerana kata beliau, kerajaan perlu mengambil kira pelbagai aspek sebelum sistem persekolahan seumpama itu dapat dilaksanakan.

''Sistem persekolahan satu sesi itu memang objektif kita. Pada masa ini, kira-kira 60 peratus daripada sekolah rendah telah melaksanakan sistem tersebut tetapi sekolah menengah masih kurang," jelasnya.

Menurut beliau, bagi melaksanakan sistem tersebut, kerajaan perlu membina lebih banyak sekolah dan guru.

''Kita masih belum pasti bila kita akan dapat melaksanakan sistem ini," katanya.

Muhyiddin menolak andaian kegagalan kerajaan melaksanakan sistem persekolahan satu sesi akan menggalakkan lagi gejala sosial di kalangan remaja.

''Banyak faktor yang menyebabkan berlaku gejala sosial seperti kurang kasih sayang dan didikan agama, bukan sistem persekolahan satu sesi," jelasnya.

Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri

Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri

16 kalau cikgu (dari cikgu fais)

16 Kalau CikguPosted: September 4, 2009 by Cikgu Fais in Motivasi
01. Kalau cikgu menunggu arah, semua kerja perlu dikerah.
2. Kalau cikgu kurang bersedia, di dalam kelas banyak cerita.
3. Kalau cikgu kurang kerja, dapat laporan berjela-jela.
4. Kalau cikgu kurang merancang, di dalam kelas banyak temberang.
5. Kalau cikgu suka berdamping, semua murid dapat dibimbing.
6. Kalau cikgu asyik naik marah, akhirnya semua murid buat tak endah.
7. Kalau cikgu rajin mendidik, akan lahirlah murid yang cerdik.
8. Kalau cikgu senyum selalu, murid sentiasa ingat padamu.
9. Kalau cikgu pilih kasih, murid terluka hatinya pedih.
10. Kalau cikgu seorang penyayang, ke akhir hayat tetap dikenang.
11. Kalau cikgu umpama ibu, murid akan sayang setiap waktu.
12. Kalau cikgu buat tak kisah, murid akan bermasalah.
13. Kalau cikgu rajin menasihat, setiap teguran akan diingat.
14. Kalau cikgu kurang ikhtiar, headcount murid akan terbiar.
15. Kalau cikgu kurang kreatif, kelas akan menjadi pasif.
16. Kalau cikgu sentiasa culas, murid akan sentiasa terkandas.

Konsep Psikologi Pendidikan

: May 20, 2009 by Cikgu Fais in Ilmu Pendidikan
Tags: Ilmu Pendidikan, Psikologi Pendidikan 1Pengenalan

Bidang psikologi pendidikan adalah merupakan suatu bidang kajian tentang bagaimana manusia belajar dalam latar pendidikan, keberkesanan campur tangan pendidikan, psikologi pengajaran, dan psikologi sosial. Psikologi pendidikan juga juga dapat difahami menerusi hubungannya dengan disiplin-disiplin yang lain khususnya dari bidang psikologi. Antara bidang yang terkandung di dalam bidang ini ialah dari segi rekabentuk pengajaran, teknologi pendidikan, perkembangan kurikulum, pembelajaran organisasi, pendidikan khas, dan pengurusan bilik darjah.

E. L. Thorndike pada tahun 1903, telah mendefinisikan psikologi pendidikan sebagai ‘middlemen mediating between the science of psychology and the art of teaching’. Secara keseluruhannya, bidang psikologi pendidikan ini adalah merupakan suatu disiplin ilmu yang mengaplikasikan ilmu psikologi dalam dunia belajar dan guru.

Apa Erti Psikologi

Psikologi berasal daripada perkataan Greek purba iaitu ‘Psyche’ dan ‘Logos’. Psyche membawa maksud jiwa, manakala Logos pula membawa maksud kajian mengenai sesuatu.

Merujuk kepada Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka pula, ia menafsirkan psikologi sebagai kajian tentang proses mental dan pemikiran, terutamanya berhubung dengan perlakuan manusia dan haiwan; pola pemikiran dan perlakuan seseorang atau sesuatu kumpulan tertentu; dan kebijaksanaan memahami sifat manusia.

Berikut pula adalah beberapa contoh definisi psikologi yang ditafsirkan oleh beberapa tokoh:
- “Satu cabang penyiasatan saintifik untuk tingkah laku dan aktiviti”. (William, 1960).
- “Psikologi adalah sains tingkah laku”. (Wittaker, 1970).
- “Satu kajian yang sistematik terhadap tingkah laku dan mental seseorang”. (Henry L.Roediger, 1984).
- “Kajian sistematik tentang tingkah laku manusia dan pengalaman manusia”. (Kalat, 1999).
- “Psikologi merupakan satu kajian saintifik untuk mengkaji bagaimana pemikiran manusia bekerja dan bagaimana pemikiran tersebut mempengaruhi tingkah laku atau mempengaruhi sikap seseorang itu terhadap sesuatu tingkah laku”. (Cambridge International Dictionary of English m.s. 383).

Apa Erti Psikologi Pendidikan

Menurut Borich dan Tombari (1997), psikologi pendidikan membawa maksud satu disiplin yang mengfokuskan kajiannya kepada pengetahuan teoretikal dan pengetahuan empirikal mengenai pengajaran & pembelajaran dalam bilik darjah.

Menurut Clifford, 1984 (dalam Hensen & Eller, 1999), psikologi pendidikan adalah mengaplikasikan kaedah psikologi untuk mempelajari proses pendidikan.

Secara keseluruhannya, psikologi pendidikan lebih menjelaskan kaedah penerapan psikologi oleh guru-guru untuk tujuan memahami tingkah laku pelajar-pelajar bagi memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan secara lebih berkesan.

Kepentingan Ilmu Psikologi Pendikan dalam Pelaksanaan Proses Pengajaran dan Pembelajaran

Guru adalah merupakan insan yang diberi tugas untuk mendidik pelajar supaya menjadi insan yang berilmu dan mampu untuk menjadi insan yang berguna untuk diri sendiri dan orang lain. Guru juga adalah insan yang memainkan peranan yang cukup penting yang bertindak sebagai pelaksana kurikulum dan program di sekolah, terutama dari segi pencapaian, aspirasi dan matlamat sekolah.

Pengaplikasikan ilmu psikologi pendidikan ini amat penting difahami dan diaplikasikan oleh guru-guru supaya proses pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan dengan berkesan dan mencapai matlamat yang disasarkan.

Apabila ianya difahami, guru-guru boleh memahami mengapa pelajar cenderung untuk melakukan sesuatu tingkah laku terutamanya ketika proses pengajaran dan pembelajaran dijalankan. Contohnya, jika pelajar tidak menumpukan perhatian di dalam kelas, apakah tindakan yang harus dilakukan oleh guru supaya masalah ini dapat diatasi. Apabila guru dapat mengaplikasikan psikologi pendidikan ini maka guru boleh meramalkan tingkahlaku pelajar dan berupaya untuk menanganinya. Secara tidak langsung guru mampu untuk merancang aktiviti dan bimbingan lebih awal supaya dapat membentuk tingkahlaku yang diingini.

Menurut Lee Shulman (1997), guru yang berjaya adalah guru yang dapat mengajar matapelajaran dengan baik dan dapat mengaplikasikan strategi pengajaran kepada semua mata pelajaran termasuklah pengurusan bilik darjah yang baik dan kaedah mengajar yang berkesan. Beliau juga turut menambah, guru harus dapat menyediakan strategi pengajaran kepada semua mata pelajaran termasuklah pengurusan bilik darjah yang baik dan kaedah mengajar yang berkesan. Bahan-bahan yang disediakan pula mestilah sesuai dengan matapelajaran dan tahap pelajar.

Guru yang menguasai psikologi pendidikan ini juga boleh merancang peneguhan yang sesuai untuk pelajarnya dalam usaha mengawal tingkah laku dan memotivasi pelajar supaya lebih rajin menuntut ilmu. Dengan peneguhan ini juga, guru dapat mengetahui tahap perkembangan pelajar dari sudut fizikal, kognitif, sosial, dan emosi.

Cara mengenalpasti tahap pelajar boleh dilakukan dengan melakukan soal selidik yang mudah terutamanya terhadap pelajar-pelajar yang bermasalah dan seterusnya dapat merancang program atau aktiviti yang sesuai untuk pelajar dalam meningkatkan prestasi pembelajaran dan tahap penguasaannya terhadap matapelajaran yang diajar. Guru juga boleh membentuk tahap kendiri yang tinggi dalam diri pelajar tersebut.
Dengan memahami psikologi pendidikan, seorang guru melalui pertimbangannya diharapkan dapat:

1. Merumuskan tujuan pembelajaran secara lebih tepat;
2. Memilih strategi atau method yang sesuai;
3. Memberi bimbingan atau kaunseling;
4. Mengembang bakat dan potensi yang dimiliki oleh pelajar;
5. Mewujudkan iklim belajar yang kondusif; dan
6. Menilai hasil pembelajaran yang adil dan saksama.

Kesimpulan

Secara ringkasnya, guru yang berkesan adalah guru yang berilmu pengetahuan, menguasai pedagogi dan juga ilmu psikologi tentang manusia.

Guru juga semestinya menunjukkan sikap jujur dan keikhlasan ketika mengajar bagi menggalakkan proses pengajaran dan pembelajaran dapat hasil yang positif.

Akhir sekali, guru mestilah mempunyai kepakaran dalam matapelajaran yang diajar dan seterusnya menggunakan strategi, kaedah dan teknik mengajar yang membolehkan pelajar menjalankan aktiviti pembelajaran mereka dengan kaedah dan teknik yang betul. Guru yang berkesan akan melahirkan pelajar yang memberikan hasil yang berkesan dan mampu menguasai ilmu yang dipelajari.

Cara Finland Martabatkan Guru

Cara Finland Martabatkan Guru
Posted: December 16, 2009 by Cikgu Fais in Isu Pendidikan
dipetik dari Utusan Malaysia (16 Disember 2009)

Oleh MOHD. MAHZAN AWANG


IN FINLAND: Teacher Piia Juhola writes students’ suggestions on the chalkboard at Länsimäki School in Vantaa. Student achievement in the country is high.
KITA sering didedahkan dengan bagaimana cara Amerika Syarikat dan United Kingdom melakukan lonjakan dalam pendidikan mereka bagi mendepani ekonomi dunia. Ramai pelajar dan pakar pendidikan dihantar oleh kerajaan Malaysia ke negara-negara ini bagi mempelajari ilmu pendidikan.

Namun, sedarkah kita bahawa terdapat negara lain yang menunjukkan prestasi lebih memberangsangkan berbanding kedua-dua negara maju ini?

Indeks kekayaan Legatum 2009 menunjukkan Finland disenaraikan tempat pertama mengatasi Amerika Syarikat (tangga ke-9) dan United Kingdom (tangga ke-12). Indeks kekayaan Legatum merupakan penilaian global tentang kekayaan dan kesejahteraan hidup rakyat di 104 buah negara berasaskan penilaian faktor-faktor lonjakan ekonomi serta kesejahteraan hidup jangka panjang, termasuklah bidang pendidikan.

Indeks ini meletakkan New Zealand di tangga ke-10 dan Ireland di tangga ke-11. Malaysia disenaraikan di tangga ke-39 mengatasi negara Asia Tenggara lain iaitu Thailand (tangga ke-44), Filipina (tangga ke-55) dan Indonesia (tangga ke-61).

Laporan yang dikeluarkan oleh Institut Legatum berpejabat di London ini meletakkan pendidikan di Singapura di senarai ke-26, Thailand di tangga ke-54 dan Malaysia di tangga ke-55. Manakala Filipina dan Indonesia masing-masing di tangga ke-70 dan 75. Pendidikan di Finland disenaraikan sebagai ketiga terbaik selepas Norway (tangga ke-2) dan Denmark (tangga teratas).

Bagaimana Finland menguruskan pendidikan terutama dengan memfokuskan kepada profesion perguruan.

Pengarah Pusat Mobiliti Antarabangsa (CIMO) Finland, Dr. Pasi Sahlberg melaporkan bahawa ramai daripada graduan cemerlang di Finland cenderung untuk memohon menjadi guru. Peningkatan mendadak berlaku dalam tempoh lima tahun terakhir ini.

Daripada jumlah yang ramai itu, hanya 12 hingga 14 peratus sahaja berjaya dilatih sebagai guru. Ini menunjukkan bahawa guru-guru dipilih dalam kalangan mereka yang benar-benar cemerlang, sama ada dalam bidang akademik dan juga bukan akademik. Hanya yang terlatih sahaja boleh menjadi guru. Ia suatu yang berbeza di Malaysia.

Beban mengajar guru di Finland adalah jauh lebih rendah berbanding di Amerika Syarikat, New Zealand dan Scotland. Di Finland, guru dibebani 600 jam waktu mengajar setahun, manakala di Amerika Syarikat ia mencecah 1,100 jam setahun. Falsafah Finland dalam bab ini menurut Dr. Pasi Sahlberg adalah dengan mengurangkan waktu mengajar bererti memperbanyakkan waktu belajar.

Falsafah ini menggalakkan pembelajaran kendiri dalam kalangan pelajar. Adakah ia berjaya mendidik pelajar dalam pelajaran? Kajian lepas mendapati bahawa pencapaian matematik di Finland menunjukkan peningkatan yang lebih memberangsangkan mengalahkan pencapaian pelajar Amerika Syarikat, Kanada, United Kingdom dan New Zealand.

Biarpun pencapaian pelajar dalam matapelajaran Sains di Finland adalah setara dengan negara-negara lain, tetapi tidak wujud jurang perbezaan pencapaian yang besar di antara sekolah-sekolah di Finland.

Oleh kerana keberkesanan pengajaran dan pembelajaran diukur melalui ujian, maka banyak ujian diperkenalkan di sekolah. Keadaan ini diamalkan di banyak negara.

Guru-guru secara langsung dilatih untuk mengajar pelajar bagi membolehkan pelajar melepasi ujian dengan skor yang baik. Situasi ini dilihat dalam paradoks berbeza di Finland. Pembelajaran dilihat lebih berkesan dengan mengurangkan ujian.

Guru dan pelajar juga tidak didoktrinkan dengan ujian, tetapi ditekankan kepada pembelajaran kendiri. Hasil daripada keadaan ini, kadar celik huruf serta pengetahuan sains di Finland mengatasi Amerika Syarikat, Kanada dan Jepun.

Di Finland, guru-guru dilatih agar menggunakan pendekatan yang lebih bercorak pembelajaran kreatif dan bersahaja. Ia bertujuan untuk merangsangkan perkembangan minda dan menggalakkan budaya fikir dalam kalangan pelajar.

Sebarang perubahan pendidikan di peringkat global dinilai dalam konteks yang berbeza di Finland. Ini adalah kerana akhir-akhir ini banyak usaha memartabatkan profesion keguruan di sesebuah negara dipengaruhi oleh perubahan di peringkat global.

Negara-negara membangun tidak ketinggalan membuat banyak perubahan dengan mengandaikan bahawa ia perlu dilakukan demi memenuhi keperluan peringkat global. Walhal, dalam keadaan tertentu perubahan itu tidak sesuai dengan sesebuah negara.

Justeru, Finland mengambil pendekatan lebih berkati-hati dalam hal ini iaitu dengan mempelajari daripada negara-negara lain sebelum sebarang perubahan dilakukan.

Usaha memartabatkan guru termasuklah memastikan kerjaya ini mempunyai masa depan yang gemilang menerusi kenaikan pangkat. Di kebanyakan negara, akauntabiliti pengukuran kecemerlangan guru diberi perhatian yang serius. Namun di Finland, aspek ini dilihat dalam konteks berbeza. Perkongsian tanggungjawab dalam kalangan guru menjadi faktor kepada penilaian.

Dalam soal mengawal tingkah laku pelajar, memupuk kepercayaan dijadikan teras. Ia berbeza di kebanyakan negara yang percaya bahawa kawalan dan pemantauan guru sebagai teras kawalan tingkah laku.

Perbezaan ini membuatkan tugas dan tanggungjawab guru berada dalam vakum yang berbeza. Ini adalah kerana memupuk saling percaya lebih bersifat menyedarkan pelajar tetapi mengawal pelajar lebih berbentuk komunikasi satu hala yang mewujudkan jurang interaksi antara dua kumpulan ini.

Paradoks di Finland ini menggambarkan bahawa usaha memartabatkan guru bukan sekadar memperkenalkan pelbagai anugerah kecemerlangan tetapi ia lebih bersifat satu usaha yang menyeluruh.

Ia adalah satu usaha bersama dengan pertimbangan yang tinggi wajar diberi kepada pandangan para guru – sama ada guru novis, guru terlatih dan guru yang telah meninggalkan sekolah (pencen dan bertukar kerjaya).

Maklumat lanjut boleh rujuk ke :
Lessons from most successful schools abroad

Thursday, January 6, 2011

Kajian Geografi Tempatan

Kajian Geografi Tempatan
January 05th, 2009 by Augustine Towonsing
Kajian Geografi Tempatan merupakan sebahagian daripada aktiviti pendidikan juga merupakan sebahagian keperluan dalam komponen mata pelajaran Geografi peringkat menengah rendah. Melalui Kajian Geografi Tempatan para pelajar diberikan peluang membuat kajian sebenar mengenai isu-isu tertentu mengikut tema-tema yang telah ditetapkan dalam sukatan pelajaran Geografi.
Aktiviti ini juga sangat penting untuk memupuk kesedaran serta memberi peluang kepada para pelajar sendiri memahami konsep alam dan hubungannya dengan kehidupan manusia melalui kajian sebenar di luar bilik darjah.
Guru juga mempunyai peranan sangat penting menanam kesedaran pentingnya kita menjaga alam sekitar yang menjadi ruang lingkup kehidupan sejagat. Di mana, guru-guru Geografi perlu membawa pelajar melihat sendiri keadaan sebenar kesan kegiatan manusia terhadap alam sekitar.
Kajian.
January 05th, 2009 by Augustine Towonsing
Berikut adalah pautan untuk kajian tempatan yang dilaksanakan oleh para pelajar dari SMK Gurun yang boleh dijadikan sebagai panduan bagi pelajar lain yang ingin menjalankan kajian geografi tempatan:
Faktor Mempengaruhi Bentuk Pola Petempatan Serta Kesan Petempatan Ke Atas Alam Sekitar Di Yan Dan Perbandingan Dengan Kesan Petempatan Di Gurun, Kedah
Kepelbagaian bentuk muka bumi, potensi dan kesan kegiatan manusia ke atas sumber hutan dan air di Yan serta perbandingan dengan kesan kegiatan manusia di Gurun, Kedah.
Kesan pencemaran dan pandang darat sungai di Kg. Baru, Gurun akibat kegiatan manusia.