Sejak Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yasin mencadangkan supaya pelajar dihadkan mengambil tidak lebih daripada 10 mata pelajaran dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), perkara ini telah menjadi polemik yang menyegarkan. Menyegarkan kerana ia membuka peluang untuk rakyat mengemukakan pendapat tentang sistem pendidikan di sekolah kita. Pelbagai pandangan telah diberikan.
Namun, terdapat satu komponen yang sehingga ini kurang dibicarakan. Komponen tersebut ialah kokurikulum.
Saya melihat cadangan Tan Sri Muhyiddin ini sebagai lebih luas daripada sekadar mengurangkan jumlah mata pelajaran. Sebaliknya, saya melihatnya sebagai keperluan untuk menyeimbangkan kedudukan dan kepentingan dua komponen utama sistem pendidikan, dan ini tidak terhad di sekolah sahaja, tetapi perlu juga melibatkan Institusi Pengajian Tinggi (IPT).
Dua komponen utama sistem pendidikan itu ialah, pertamanya, akademik dan keduanya, kokurikulum. Dalam konteks sekolah, “kokurikulum” di sini termasuk apa yang digelar “hal ehwal murid”. Manakala di IPT pula, “kokurikulum” di sini termasuk apa yang di sesetengah IPT digelar “hal ehwal pelajar”, “kebudayaan” dan “sukan”.
Apa yang dimaksudkan di sini ialah kita perlu bukan sahaja melihat pembaikan dalam komponen akademik semata-mata, tetapi perlu juga sekaligus melihat pembaikan dalam komponen “pembangunan pelajar” yang bersepadu, holistik dan seimbang.
“Seimbang” tidak semestinya bermakna “sama” dari segi masa, tenaga dan dana yang diperuntukkan. Sekiranya kita mempunyai alasan yang kukuh untuk, misalnya, membelanjakan masa, tenaga dan dana yang lebih kepada akademik, maka, ia adalah wajar. Maksud seimbang di sini ialah kedua-dua komponen itu perlu diberikan perhatian yang sewajarnya, yang bersesuaian dengan kepentingannya, dan tidak terdapat komponen yang dipinggirkan.
Tetapi, malangnya, sistem pendidikan kita terlalu menekankan akademik. Bukan sahaja terlalu akademik, malahan, kita terlalu berorientasi peperiksaan. Kokurikulum tidak diberikan tempat yang sewajarnya.
Kerana itu kita berasa lega apabila Menteri Pelajaran sebelum ini, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pernah mengumumkan langkah mengkaji semula sistem peperiksaan hari ini, dengan tujuan untuk mengurangkan sistem pendidikan daripada terlalu berorientasi peperiksaan.
Dalam hal ini, mengurangkan jumlah mata pelajaran, walaupun amat penting dan perlu disokong, tetapi, ia belum tentu secara automatis tidak terlalu berorientasi peperiksaan. Atau, kalaupun orientasi peperiksaan dikurangkan, tetapi, sekiranya perhatian terhadap kokurikulum masih juga kurang, maka matlamat kesepaduan dan keseimbangan itu masih juga tidak dipenuhi.
Ketika menutup rasmi Gala Kokurikulum Kebangsaan 2007 di Kuala Pilah, pada 28 Jun 2007, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak (ketika itu Timbalan Perdana Menteri) menyatakan bahawa kokurikulum amat penting bagi pembangunan modal insan dan kekuatan bangsa yang mulia dan bermaruah kerana ia memupuk nilai-nilai dan prinsip-prinsip yang menjadi pegangan diri, menjadikan pendidikan menyeronokkan, mengurangkan tekanan dan membina watak dan peribadi yang seimbang dan holistik.
Semua bersetuju dengan pandangan ini. Kerana itu, kokurikulum dicatatkan dengan nyata dalam Pelan Induk Pendidikan Negara (bagi sekolah) dan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (bagi IPT).
Di samping itu, bermula dengan kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) pada Julai 2006/2007, buat pertama kalinya Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengambil kira markah kokurikulum sebagai 10 peratus daripada keseluruhan markah yang dimiliki calon-calon. Langkah ini amat baik.
Kokurikulum yang ada hari ini adalah lebih baik daripada sebelumnya. Tetapi, ia masih belum mencukupi. Ini kerana, di sekolah, termasuk di Sekolah Berasrama Penuh (SBP), dan begitu juga di IPT, pelaksanaannya tidaklah seperti yang diimpikan dan dirancangkan.
Pelaksanaannya amat bergantung kepada wujudnya budaya kokurikulum yang kondusif. Peranan kepemimpinan di sekolah dan IPT amat penting kerana terdapat mereka yang kalaupun tidak menghalang, tetapi sekurang-kurangnya tidak memotivasi kemajuan kokurikulum.
Ini ditandai misalnya dengan tidak menyediakan peluang secukupnya, tidak atau kurang mengambil berat, membiarkan beberapa orang tertentu mengganggu aktiviti dan terlalu mementingkan peperiksaan.
Budaya korikulum yang kondusif bermula dengan sekolah dan IPT meletakkan kokurikulum pada tempatnya yang sebenar. Perkara ini mesti dipersetujui oleh semua pihak berkepentingan sekolah dan IPT, iaitu Pengetua/Naib Canselor, guru/pensyarah, ibu bapa, alumni dan pelajar/mahasiswa.
Kedua, mesti wujud matlamat yang jelas, iaitu melahirkan pelajar/mahasiswa berperibadi bersepadu dan unggul melalui kokurikulum yang sistematik dan profesional.
Ketiga, mesti ada objektif yang khusus, misalnya: meningkatkan penghayatan budaya kokurikulum yang sihat dan konsisten; memperkukuhkan pengurusan, kejurulatihan, penasihatan, kepemimpinan dan keanggotaan organisasi; meningkatkan kefahaman, komitmen dan profesionalisme; menjadikan pelajar/mahasiswa mahir dalam satu bidang tertentu; dan memperbanyakkan kemenangan sekolah/IPT dalam pertandingan-pertandingan.
Keempat, mesti terdapat organisasi kokurikulum yang sesuai. Dari segi persatuan/kelab, sekiranya terdapat permintaan, maka yang baru perlu ditubuhkan. Manakala sesetengah persatuan/kelab yang sedia ada perlu dipecahkan kepada organisasi-organisasi berasingan kerana keaktifan yang tinggi dan keperluan yang berbeza. Contohnya, Persatuan Debat wajar dipecahkan kepada beberapa bahagian, seperti Bahasa Melayu, Inggeris, Arab, Mandarin dan Tamil.
Kelima, keanggotaan perlu terbuka kepada semua dan tidak terhad kepada yang berbakat sahaja. Dalam persatuan debat contohnya, keanggotaannya tidak boleh dihadkan kepada yang petah berdebat sahaja. Yang tidak petah juga boleh menjadi anggota.
Walaupun bukan pendebat, tetapi mereka boleh menimba ilmu dan kemahiran berkomunikasi di samping melaksanakan kerja pengurusan persatuan seperti penganjuran latihan dan pertandingan, membuat penyelidikan untuk pasukan, pengurusan acara, mencari dana, promosi dan sebagainya. Barisan kepemimpinannya juga boleh dianggotai oleh anggota yang bukan pendebat.
Keenam, mesti terdapat guru/pensyarah penasihat organisasi kokurikulum yang komited.
Ketujuh, mesti ada jurulatih yang baik. Sebaik-baik jurulatih adalah guru/pensyarah penasihatnya sendiri. Tetapi, sekiranya guru/pensyarah penasihat tidak mampu, maka mesti dicari jurulatih luar. Terdapat dua sumber yang tidak melibatkan kos, iaitu ibu bapa dan alumni yang mahir dalam bidang berkaitan. Kalau tidak dapat daripada sumber ini, maka mestilah dicari jurulatih berbayar.
Kelapan, mesti ada penasihat teknikal di kalangan ibu bapa, alumni dan profesional yang berkemahiran dan ia tidak melibatkan kewangan.
Kesembilan, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Alumni mesti keluar dari kerangka lama, iaitu tugas utamanya hanya mengumpulkan dana sahaja dan memulakan kerangka baru, iaitu meningkatkan kerja pengumpulan dana yang dibuat sekali sekala itu kepada penubuhan yayasan yang lebih konsisten serta melibatkan diri sebagai penasihat teknikal yang membantu guru/pensyarah dalam kokurikulum.
Kesepuluh, seboleh-bolehnya, semua urusan organisasi kokurikulum hendaklah dijalankan oleh pelajar/mahasiswa dan bukannya oleh guru/pensyarah. Ia mesti dilaksanakan atas konsep penghakupayaan pelajar/mahasiswa. Barulah partisipasi dan kepemimpinan pelajar/mahasiswa menjadi realiti.
Tetapi, perkara-perkara ini belum mencukupi selagi pemberatan dari segi peratusan bagi kokurikulum adalah masih rendah, iaitu pada kadar 10 peratus sahaja. Pemberatan yang lebih wajar ialah 30 peratus.
Dalam konteks syarat kemasukan ke IPT, Naib Canselor Universiti Sains Malaysia Prof. Tan Sri Dzulkifli Abd Razak menyatakan bahawa universiti-universiti ternama di luar negara memberikan pemberatan yang lebih besar terhadap kokurikulum dan ciri-ciri yang disebut Profesor Universiti Harvard, Henry Rosovsky (1990) dalam bukunya The University: An Owner’s Manual, sebagai subjektif, qualitatif dan tak-kuantitatif.
Menurut Richard Bradley (2005) dalam bukunya Harvard Rules, untuk memasuki Universiti Harvard, iaitu universiti terbaik di dunia, kelulusan akademik sahaja tidak memadai. Calon-calon juga perlu mempunyai ciri-ciri seperti ahli muzik, saintis, usahawan, ahli sukan dan sebagainya – yang bertaraf dunia.
Kokurikulum mesti dilihat dengan paradigma bahawa ia mempunyai kepentingan yang seimbang dengan akademik. Kokurikulum mesti dilihat sebagai pelengkap kepada akademik. Kokurikulum mesti dilihat sebagai sebahagian daripada cara hidup.
Kerana itu, kokurikulum mesti diberikan ruang yang lebih luas dari sekolah hinggalah ke universiti.
No comments:
Post a Comment